Wednesday, September 12, 2012

Khazanah

Assalamualaikum semua.

Dah 2 3 malam aku tak boleh tidur, mengenangkan blog yang lama tak update.  Dari awal tahun 2012 sampai sekarang satu habuk post pun tak ada. Nak kata sibuk, memang sibuk. Tapi kalau hampir sepanjang tahun sibuk tak sempat tulis blog, itu dah kira luar tabie menurut kamusku. Otakku ligat berfikir, seligat mataku yang berpusing-pusing mengikut arah putaran kipas siling di bilik tidur.

"Ah, aku mesti buat sesuatu", getus hati kecilku lewat malam tadi. Lalu aku pun menoleh ke sebelah melihat zawjati yang sedang nyenyak dibuai mimpi. Tanganku perlahan-lahan menjalar ke arah zawjati... untuk "berbuat sesuatu". Lalu.... arrghhhh... apa aku melalut ni. Bukan itu maksud "buat sesuatu" yang aku nak ceritakan pada korang.

Ok berbalik pada topik asal. Cuti hujung minggu lepas, aku berkesempatan menjadi seorang suri rumah sambil mengasuh anak bongsuku. Zawjati kena bekerja. Anak sulungku pula dah diambil oleh adik ipar sejak awal pagi. Jadi tinggallah aku dengan anak bongsuku sahaja. Selesai menguruskan mandi dan makan si kecik tu, aku mula mengemas rumah. Err... jujurnya bukan seluruh rumah, tapi cuma mengemas barang-barang peribadi aku aje, yang dah lama terperuk dalam kotak yang tak pernah dibuka.

Arakian kotak dibuka maka bermulalah proses mentarjih segala harta benda yang ada di dalamnya. Segala macam benda aku ditemui dari yang biasa, rare hingga ke super rare. Jadi di sini aku kongsikan beberapa barang rare yang berjaya digeledah (maaf barang super rare tak dapat dikongsi di sini atas nasihat doktor).



Barang pertama yang aku nak share ialah kalkulator. Sekali imbas benda ni tak rare pun selain ianya merupakan kalkulator yang aku gunakan ketika di zaman universiti. Apa yang rare ialah, kalkulatornya telah tiada entah ke mana, yang tinggal hanya kotak sahaja. Berapa ramai kat sini masih simpan kotak kalkulator korang, angkat tangan? Itulah yang rarenya.



Barang seterusnya ialah helaian suratkhabar lama. Zaman dulu belum ada lagi majalah pasal komputer, jadi kebanyakan maklumat diperolehi melalui internet atau suratkhabar. Dan masa tu hanya satu sahaja paper yang buat sisipan khas tentang dunia komputer, iaitu Utusan Megabait. Tapi bukan semua aku collect pun, yang mana aku interested atau nak buat nota projek, baru aku simpan. Yang ni aku simpan sebab nak buat bungkus nasi lemak.



Masa zaman aku belajar dulu, di dalam dorm aku ada seorang member yang mempunyai PC. Masa tu budak U yang ada PC tu boleh dikira dengan telinga je, memang sikit. Tapi apa yang membezakan PC dia dengan PC orang lain ialah, pemain CD-ROM dia ada remote control. Jika pemain CD-ROM biasa cuma ada butang eject aje, tapi dia punya ada play, stop, forward, reverse. Pendek kata kalau tengok movie tu, tak payah nak pegang mouse pun, semua boleh control pakai remote. Jadi apa yang rare pasal benda ni? Yang rare ialah macam mana aku boleh ada CD driver untuk pemain CD-ROM tu sedangkan aku tak pernah ada pun bendanya? CD sapa aku rembat? Untuk apa pula aku simpan?


Dulu bila sebut je pasal Sound Card, jenama Creative memang paling top. Bahkan sampai sekarang masih popular. Zaman belajar dulu aku guna sound card cap ayam je. Kemudian baru aku tukar jenama Creative. Persoalannya, walaupun aku guna Sound Card jenama Creative sekarang, tap aku tak pernah pun beli model Sound Blaster Live Value. Jadi sekali lagi, CD siapa aku rembat ni?



Graphic Card Voodoo sangat popular dan top masa zaman 90-an dulu. Hingga timbul khurafat ketika itu, sesiapa yang pakai Voodoo, semua games dia boleh main tanpa masalah. Tapi entah kenapa syarikat 3dfx yang keluarkan Voodoo ni boleh jatuh bankrap plak, habis semua jurutera dia lari masuk Nvidia. Sebab tu Nvidia top sekarang. Aku bukanlah pekerja syarikat 3dfx nak promo produk, dan bukan juga pengguna Graphic Card Voodoo. Cuma aku musykil macam mana boleh ada dalam kotak pandora aku ni?



Pastu aku jumpa plak satu bungkusan putih dan lusuh. Di bucu-bucu bungkusan ni boleh dilihat kesan gigitan anai-anai dan juga lipas. Di sesetengah area ada kesan gigitan nyamuk pun. Bila baca tulisan di luar bungkusan, macam suspen pun ada. Panduan apakah ini? Adakah panduan cara menghadapi malam pertama peperiksaan?



Setelah bungkusan dibuka, sekonyong-konyongnya keluarlah benda seperti di atas. Buku tatabahasa pengaturcaraan COBOL dan juga disket yang mengandungi program COBOL. Masih cantik berkilat tidak seperti bungkusannya. Masa zaman aku belajar dulu, bahasa COBOL ni dah pun dianggap sebagai lapuk, dan kami belajar pun atas dasar semangat memenuhi sukatan pelajaran semata-mata. Dan panggilan kami kepada bahasa ini ialah Koboi, sebagai menggambarkan lagi kelapukannya itu. Jadi bahasa yang dianggap lapuk ketika itu, apatah lagi jika dinilai di zaman sekarang, kenapa aku masih menyimpannya dengan elok? Arghhh sungguh memalukan menghairankan.



Aku terjumpa satu surat. Surat keahlian aku sebagai ahli kelab Komik yang disertakan sekali dengan kad keahlian. Aku urut janggut. Memang aku suka layan komik dulu, tapi bila masa aku apply nak jadi ahli? Dan kenapa kad keahlian tu masih terlekat pada surat, seperti tak digunakan langsung? Bila baca balik syarat-syaratnya, mungkin syarat ketiga tu yang membuatkan aku tak pernah guna kad ni langsung. Semua buku yang dibeli di HQ (Selangor) sahaja layak diberi diskaun. Gila apa aku nak beli komik 4 ringgit lebih kena travel sampai Selangor? 


\

Ni kad keahlian tu. Terlampau lama sampai bila aku nak kopek keluarkan dari surat, terkoyak terus bahagian belakang dia. Rugi company ni buat kad untuk aku. Tak banyak pun komik diaorang aku beli, semua pinjam member je.



Ni plak sebutharga komputer yang pertama kali aku beli. Masa tu zaman Pentium 3 dengan Celeron je. Aku minta tolong sifu untuk survey sebelum beli, iaitu sahabat aku E.E. Dia memang otai masa tu, bab komponen PC semua dalam kepala dia je. Korang tengok spec masa tu, siap tulis Powerful lagi padahal Celeron je. Aku beli yang mana satu? Haha aku beli Celeron 466Mhz, memang tak ada dalam senarai harga tu. Yang dalam senarai tu semua diluar bajet, jadi aku terpaksa minta yang low-bajet special punya. Korang ada simpan lagi sebutharga dan spec PC korang?



Ni cermin yang setia menemani aku sepanjang tempoh pembelajaran di U. Lokasinya memang standard, tergantung di bahagian dalam pintu almari aku. Cermin ni la aku menghadap hari-hari untuk sikat rambut sisir tepi. Sekali pandang nampak macam cermin biasa kan? Huhu ketahuilah korang sekalian, cermin ini bukan sebarangan, ianya adalah cermin sakti seperti dalam cerita Snow White tu. Kalau tak percaya bila korang menghadap cermin ni, cuba sebut mantera ni "mirror mirror, tell me who is the most handsome in the world?"
"Abang Insaf" jawab cermin tu dalam keterpaksaan.



Ni korang tau apa? Ink printer jenis ribbon untuk pencetak dot matrik. Masa awal pengajian, belum ada PC, semua student akan melepak di makmal komputer U bagi menyiapkan sesuatu tugasan. Masa tu usah cakap la, memang jammed macam Mee Udang Mak Jah, kena tunggu giliran nak guna komputer. Makmal pun cuma ada 2 je. Bila kerja dah siap, akan diprint ke satu pencetak lapuk jenis dot matrik yang disediakan dalam makmal tu. Aku tau politik pentadbiran U aku, pencetak dot matrik lebih jimat dan murah inknya, sebab tu diaorang pasang pun. Namun, walau semurah dan sejimat mana sekalipun, dek tahap penggunaan yang amat tinggi oleh para pelajar, maka selalunya pencetak tersebut memang kehabisan ink. Jalan penyelesaian adalah dengan membawa ink sendiri, pasang, guna, lepas guna cabut semula bawak balik. Maka aku pun turut membeli ink sendiri, aku beli dari kedai Rahmat. Kedai Rahmat adalah kedai mamak bersebelahan U aku yang menjual pelbagai barang keperluan pelajar dari alat tulis, binding, photostat, ink, CD, bantal dan sebagainya. Aku syak Rahmat ni mesti ada kautim dengan U aku, kalo tidak masakan selepas U aku berpindah tempat ke lokasi baru, kedai Rahmat pun ikut berpindah sama? Tak ke pelik tu?  Lagi satu, kalau nak lebih jimat lagi, bila dakwat pada ribbon tu dah habis, kami akan titik je dakwat basah ke dalam plastik ink tu. Tak payah beli ink baru. Cara ni kami ulangi sampai la ribbon tu dah lunyai dan berbulu-bulu macam bulu hidung, baru dibeli baru. Kalau Rahmat tau taktik kami ni, mesti dia marah. Eh tapi dakwat basah pun kami beli dari dia juga apa...



Ada satu sampul, aku macam dah syak isi dalamnya. Tambahan pula melihat kepada setem musang yang digunakan, aku yakin orang yang hantar pada aku tu memang perangai lebih kurang macam musang jugak.



Bila dibuka, tepat telahan aku. Kad raya daripada seorang sahabat baik. Kami berkawan sejak sekolah rendah lagi. Bila masuk U je baru dapat tempat yang berlainan. Korang baca sendiri la ayat dia, memang agak selari dengan gambar setem yang digunakan. Mana-mana perkataan Melayu rendah yang mungkin menyinggung sensitiviti pembaca telah aku blurkan atas nasihat doktor. Anyway, aku tak pernah balas pun kad raya dia, bahkan kad raya sesiapa pun. Bab ni aku memang pemalas.



Aku terkejut dengan benda ni. Mula-mula aku ingat ada stapler di dalam kotak tu, sebab dah memang kotak dia. Tapi bila dibuka sekonyong-konyongnya keluar pisau lipat pulak. Aku tak ingat macam mana pisau ni boleh masuk dalam kotak stapler. Nak kata pisau buat sembelih ayam tak patut sangat. Tapi imbauan memoriku seolahnya menyimpulkan bahawa memang aku sengaja menyembunyikan pisau di situ. Ini tidak lain kerana aku belajar di sebuah sekolah yang mempunyai pelbagai etnik gangsterisme dan pergaduhan adalah semacam hidden syllabus di situ. Atas nasihat doktor aku bawak pisau ke sekolah. 



Disket. Rasanya benda ni tak adalah rare sangat. Cuma rare bagi aku sebab semua nota kerja dan projek sistem aku masih tersimpan dalam disket ni lagi.



Cebisan-cebisan kertas macam ni banyak aku jumpa dalam dompet lama aku. Gambar dompet lama aku tak mahu share sebab kategori super rare. Cebisan ni tidaklah bertulis apa-apa azimat, mantera atau pun kod pengaturcaraan. Sebaliknya apa yang tertulis cuma cheat code unttuk permainan video games Playstation One. Korang pun tak faham apa aku tulis ni.



Resit bayaran X-Ray untuk pemeriksaan kesihatan bagi kemasukan ke U. Korang ada simpan lagi? Potong timun la kalau ada!



Antara buku nota paling lama yang aku simpan. Buku nota ni aku gunakan masa zaman internet mula bertapak di Malaysia. Zaman sebelum masuk U lagi. Masa tu aplikasi yang paling popular ialah aplikasi sembang, mIRC. Setiap PC yang baru dibeli mesti ada diinstall mIRC sebagai aplikasi wajib. Aku masih ingat, antara channel yang popular dalam mIRC ialah #kampung dan #mamak. Member dorm aku siap ada yang jadi OP dan SOP bagi channel tertentu. Memang hebat. Jadi apa guna buku ni? Sebagai tempat aku dan member aku menyalin alamat emel aweks kawan-kawan yang dikenali melalui mIRC ni. Ye la, dulu main internet kat cyber cafe, bayar ikut time jadi tak boleh lama-lama. Kena sembang cepat-cepat, pastu minta emel. Selain alamat emel, buku nota ni juga tempat aku salin alamat web (URL) yang best-best. Oh ye, alamat emel terpaksa diblurkan, juga atas nasihat doktor.



Buku nota agama aku. Dakwat pen dah jadi kembang semacam. Belajar dengan Ustaz Zaki. Memang best dan sempoi.



Antara karangan agama aku semasa sekolah dulu. Bab hudud pun aku selit haha....



Yang ni masa aku dengan seorang sahabat menyiapkan latihan pengaturcaraan. Kami berdua jadi satu kumpulan. Sahabat aku tu memang sempoi kepala dia, dia jenis tak kisah cakap orang. Aku ingat lagi masa kami ramai-ramai pergi berkelah ke Teluk Batik, dia pakai seluar steng (bawah lutut sikit). Masa mandi tu mungkin ombak kuat sangat, dan seluar dia pun mungkin dah lusuh, maka koyak rabak la seluar dia tu jadi berjurai-jurai macam skirt penari Hawai, tinggal lapisan kain putih sebelah dalam sahaja menutup auratnya. Tapi sahabat aku dengan selamba masih meneruskan mandian siap panjat pokok kelapa nak petik buah tanpa menghiraukan orang sekeliling. Aku agak kagum dengan perangai beliau. Jadi bila digabungkan kami berdua dalam satu latihan pengaturcaraan, maka code structure yang biasa pun akan menjadi agak kompleks dan sukar dihadam walaupun oleh seorang lecturer berusia. Namun menyedari kekhilafan sendiri, lecterur tersebut akhirnya meminta maaf hatta sebelum kami berdua dipanggil menghadap.



Antara benda paling rare yang aku jumpa antaranya ialah getah pemadam ini. Sebuah getah pemadam biasa dengan saiz yang agak besar dan mempunyai gambar ketam di atasnya. Jadi apa yang rarenya? Getah pemadam ini aku gunakan ketika di zaman sekolah menengah, bukan untuk memadam tulisan tetapi untuk bermain permainan "tindih getah pemadam".  Aku rasa kebanyakan korang pun pernah main permainan ni, cuit-cuit, tekan-tekan bucu getah pemadam dengan tujuan untuk menindih getah pemadam kawan yang lain. Siapa kena tindih dikira kalah. Boleh dimainkan oleh 2 sehingga seberapa ramai orang pun. Sesetengah orang bahkan mampu bermain seorang diri dengan menggunakan dua ketul pemadam, sungguh kronik sekali. Kami biasanya bermain di waktu rehat, atau di waktu selang antara pertukaran guru. Adakalanya apabila terlampau gian kami bermain ketika guru sedang mengajar di depan. Kepala dan posisi badan menghadap ke  papan hitam tetapi hati, mata dan jari sedang fokus ke getah pemadam. Begitulah lagho-nya kami suatu ketika dahulu. Ada satu ketika tu terlalu asyik bermain hingga lupa guru ada di depan, dan ketika itu saat genting. Hanya tinggal 2 getah pemadam sahaja yang masih bertarung dan salah seorangnya di ambang kekalahan. Namun, sebaik sahaja dia terlepas dari bahaya kekalahan itu, semua yang sedang menonton (di kawasan meja kami) bersorak. Apa lagi lepas tu cikgu datang "bab... bab... bab..." belakang sorang-sorang. Aku sorang dua je terselamat, antaranya aku sebab kedudukan meja aku agak kebelakang dan cikgu tak dapat nak sampai ke situ hahaha. Itulah kisah suka duka pemadam aku.



Opsss.... ini yang terpaling rare. Sebab apa? Sebab aku sorang je ada, orang lain tak ada. Kenapa pula begitu? Ya la, dah anak aku, aku sorang la yang ada. Apsal korang tetiba ada anak aku plak kan?
Dan lebih rare lagi, anak pompuan bongsu aku ni ikut raut muka umm-nya. Nasib anak sulung dah ikut muka aku. Korang tengok betapa gumbiranya dia apabila diasuh oleh ayahnya :)


p/s:

Kamus Rambang:
                           zawjati      = isteriku
                           rare          = jarang didapati, ganjil        
                           mentarjih  = memilih mana yang lebih baik, kuat
                           lagho        = sia-sia
                           kekhilafan = kekeliruan, kesalahan
                           umm         = ibu



Abang Insaf © 2009. Original by Yanku. Modified by Abang