Friday, November 25, 2011

Perginya Seorang Ulamak Berani




Assalamualaikum semua. 

Hari ini aku telah mendapat satu berita yang amat menyedihkan. Ustaz Ghazali Hasbullah (Darul Atiq) telah pulang ke rahmahtulah pada bulan Jun yang lepas. Ya, 5 bulan dah berlalu, tetapi baru sekarang aku mendapat tahu.  

Aku percaya ramai yang tidak mengenali siapa Ustaz Ghazali, tetapi ketahuilah bahawa beliau merupakan seorang pendakwah yang sangat popular sekitar tahun 80-an dulu kerana keberaniannya bersuara mencegah kemungkaran tanpa mengira siapa. Sultan, mufti, imam, ustaz, menteri habis semua pernah ditegurnya tanpa selindung-selindung.  

Era 80-an adalah zaman kanak-kanakku. Jadi, masa kecil aku memang banyak dipengaruhi oleh ceramah beliau disamping ayahku yang juga meminati beliau. Antara kaset ustaz yang berulang kali aku dengar adalah bertajuk "Mengumpat" dan "Ubat Hati". Ustaz Ghazali serius dan keras dalam berceramah, jika orang jenis cepat panas telinga memang tak boleh dengar ceramah dia. Dia ketuk depan-depan punya. Tapi ustaz tak pernah gentar, bahkan dia cabar siapa-siapa yang tak berpuas hati dengan ucapan dia boleh datang berjumpa bila-bila masa pun. 

Namun dalam keseriusan ustaz berdakwah terselit juga elemen lucu yang wujud tanpa sengaja dibuat-buat. Antaranya jenaka yang sering kita dengar diucapkan oleh pendakwah masa kini (selepas memberi teguran atau peringatan kepada pendengar) : "Tapi saya cakap ni bukan orang sini ya, yang saya cakap ni kisah orang tempat lain". 

Jika tak salah aku, orang pertama yang aku dengar menyindir begitu adalah Ustaz Ghazali. Tapi beliau betul-betul menyindir, bukannya bergurau, namun akhirnya jadi satu kelucuan pula dan rasanya diikuti oleh pendakwah lain. Versi Ustaz Ghazali yang aku pernah dengar: "Tapi yang saya cakap ni bukan orang sini ye. Jangan orang sini nak pandang saya masam-masamkan muka pula. Tapi yang banyak buat (kemungkaran) memang orang sini la pun". 

Korang semua kenal dengan Ustaz Sharil Long? Ceramah Ustaz Sharil Long juga keras dan berani kan? Aku pun baru tahu yang Ustaz Sharil Long merupakan anak murid Ustaz Ghazali. Kisahnya dulu Ustaz Sharil Long (USL) kerja di bank. Dalam satu ceramah Ustaz Ghazali, USL bertanya tentang hukum kerja di bank. "Haram, masuk neraka!" jawab Ustaz Ghazali tegas. Terkejut dengan jawapan tu, USL balik rumah menung 2 3 hari last-last ambil keputusan resign. Dan lepas tu Ustaz Ghazali jemput dia duduk bersama di Darul Atiq dan mendalami agama. Itulah kisahnya.

Ah memang rindu rasanya pada ceramah-ceramah ustaz. Koleksi kaset ceramah ustaz dulu pun semua dah tak ada, rosak. Ceramah yang keras oleh ustaz memang dapat melentur dan menggerunkan hati-hati kita yang sememangnya keras dan degil ni. Kebanyakan ceramah ustaz mengajak kepada penyucian hati dan batin. Ustaz juga seorang yang kuat berzikir dan khabarnya solat malamnya paling kurang 60 rakaat, Subhanalah. 

Ustaz membangunkan sendiri Darul Atiq iaitu rumah perlindungan anak yatim dan ibu tunggal tanpa bantuan mana-mana pihak. Sungguh, ulamak berani semacam ini sudah tidak ada lagi di negara kita untuk melentur hati kita yang keras ini. Moga-moga ustaz ditempatkan dikalangan hamba-hambaNya yang soleh. Amin. 

p/s: cuma satu yang aku tetap terkilan, iaitu tak sempat bertemu dengan ustaz ketika sepanjang hidupnya. 




Ceramah tegas Ustaz (kalau dulu zaman muda lagi keras) : http://www.youtube.com/watch?v=lfj3kWbkZOI&feature=related 


0 komen:

Abang Insaf © 2009. Original by Yanku. Modified by Abang