Friday, November 25, 2011

Perginya Seorang Ulamak Berani




Assalamualaikum semua. 

Hari ini aku telah mendapat satu berita yang amat menyedihkan. Ustaz Ghazali Hasbullah (Darul Atiq) telah pulang ke rahmahtulah pada bulan Jun yang lepas. Ya, 5 bulan dah berlalu, tetapi baru sekarang aku mendapat tahu.  

Aku percaya ramai yang tidak mengenali siapa Ustaz Ghazali, tetapi ketahuilah bahawa beliau merupakan seorang pendakwah yang sangat popular sekitar tahun 80-an dulu kerana keberaniannya bersuara mencegah kemungkaran tanpa mengira siapa. Sultan, mufti, imam, ustaz, menteri habis semua pernah ditegurnya tanpa selindung-selindung.  

Era 80-an adalah zaman kanak-kanakku. Jadi, masa kecil aku memang banyak dipengaruhi oleh ceramah beliau disamping ayahku yang juga meminati beliau. Antara kaset ustaz yang berulang kali aku dengar adalah bertajuk "Mengumpat" dan "Ubat Hati". Ustaz Ghazali serius dan keras dalam berceramah, jika orang jenis cepat panas telinga memang tak boleh dengar ceramah dia. Dia ketuk depan-depan punya. Tapi ustaz tak pernah gentar, bahkan dia cabar siapa-siapa yang tak berpuas hati dengan ucapan dia boleh datang berjumpa bila-bila masa pun. 

Namun dalam keseriusan ustaz berdakwah terselit juga elemen lucu yang wujud tanpa sengaja dibuat-buat. Antaranya jenaka yang sering kita dengar diucapkan oleh pendakwah masa kini (selepas memberi teguran atau peringatan kepada pendengar) : "Tapi saya cakap ni bukan orang sini ya, yang saya cakap ni kisah orang tempat lain". 

Jika tak salah aku, orang pertama yang aku dengar menyindir begitu adalah Ustaz Ghazali. Tapi beliau betul-betul menyindir, bukannya bergurau, namun akhirnya jadi satu kelucuan pula dan rasanya diikuti oleh pendakwah lain. Versi Ustaz Ghazali yang aku pernah dengar: "Tapi yang saya cakap ni bukan orang sini ye. Jangan orang sini nak pandang saya masam-masamkan muka pula. Tapi yang banyak buat (kemungkaran) memang orang sini la pun". 

Korang semua kenal dengan Ustaz Sharil Long? Ceramah Ustaz Sharil Long juga keras dan berani kan? Aku pun baru tahu yang Ustaz Sharil Long merupakan anak murid Ustaz Ghazali. Kisahnya dulu Ustaz Sharil Long (USL) kerja di bank. Dalam satu ceramah Ustaz Ghazali, USL bertanya tentang hukum kerja di bank. "Haram, masuk neraka!" jawab Ustaz Ghazali tegas. Terkejut dengan jawapan tu, USL balik rumah menung 2 3 hari last-last ambil keputusan resign. Dan lepas tu Ustaz Ghazali jemput dia duduk bersama di Darul Atiq dan mendalami agama. Itulah kisahnya.

Ah memang rindu rasanya pada ceramah-ceramah ustaz. Koleksi kaset ceramah ustaz dulu pun semua dah tak ada, rosak. Ceramah yang keras oleh ustaz memang dapat melentur dan menggerunkan hati-hati kita yang sememangnya keras dan degil ni. Kebanyakan ceramah ustaz mengajak kepada penyucian hati dan batin. Ustaz juga seorang yang kuat berzikir dan khabarnya solat malamnya paling kurang 60 rakaat, Subhanalah. 

Ustaz membangunkan sendiri Darul Atiq iaitu rumah perlindungan anak yatim dan ibu tunggal tanpa bantuan mana-mana pihak. Sungguh, ulamak berani semacam ini sudah tidak ada lagi di negara kita untuk melentur hati kita yang keras ini. Moga-moga ustaz ditempatkan dikalangan hamba-hambaNya yang soleh. Amin. 

p/s: cuma satu yang aku tetap terkilan, iaitu tak sempat bertemu dengan ustaz ketika sepanjang hidupnya. 




Ceramah tegas Ustaz (kalau dulu zaman muda lagi keras) : http://www.youtube.com/watch?v=lfj3kWbkZOI&feature=related 


Wednesday, February 02, 2011

Bantulah adik Nur Farha Afifah



Nama Pesakit : Nur Farha Afifah bt. Mohd Dawami (8 bulan)
Sakit : Jantung Berlubang (4 injap) dan Sindrom Down
Kos Pembedahan : RM45,000 di Hospital Gleanegal Pulau Pinang
Sumbangan Diterima : RM20,000
Perlu Lagi : RM25,000

  1. Mohon jasa baik dari semua untuk menghulurkan sumbangan untuk meringankan beban sahabat saya Mohd Dawami B. Awang Senik untuk pembedahan anaknya yang menelan kos RM45,000. Collection yang beliau dapat setakat ini baru dalam RM20,000. Dia perlukan lagi RM25,000 untuk pembedahan jantung anak kedua beliau.
  1. Beliau adalah antara sahabat baik saya masa di UiTM Kelantan. Sekarang bekerja sebagai Setiausaha Kerja di Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan dengan pendapatan yang tak seberapa.
  1. Anak beliau sekarang ni dimasukkan ke Wad Hospital USM Kubang Kerian. Apa yang saya faham dari perbualan telefon sebentar tadi, HUSM tak ada kepakaran pembedahan jantung yang melibatkan 4 injap. IJN pun tak terima sebab anak beliau mengidap down sindrom. Kos dan penjagaan pesakit jantung down sindrom sama seperti menjaga dan merawat 3 orang pesakit jantung biasa.
  1. Pembedahan akan dibuat pada akhir bulan Disember 2010 ini di Hospital Gleanegal Pulau Pinang, jika beliau dapat melunaskan deposit, dan bersedia dengan kos pembedahan yang dianggarkan sekitar RM45,000.
  1. Sumbangan boleh dibuat terus ke akaun beliau, ataupun melalui saya. Moga sumbangan anda walaupun bernilai RM1 mempunyai nilaian yang besar di sisi Allah.
No. Telefon beliau 013-930 1559 (Dawami)

Cara Sumbangan :
0301 8020 7244 10 (Bank Islam) atau

0301 0086 0195 27 (CIMB)
atas nama Mohd Dawami b. Awang Senik



Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
“Siapa yang meringankan beban penderitaaan seorang mukmin di dunia pasti Allah akan meringankan beban penderitaannya di akhirat kelak. Siapa yang memudahkan orang dalam kesusahan pasti Allah s.w.t akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat. Siapa yang menutupi aib seorang muslim pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat. Dan Allah s.w.t akan selalu menolong hambaNya jika hamba tersebut menolong saudaranya (HR Muslim)



Friday, January 28, 2011

Menteri Yang Sangat Mantopp!!



BANDAR SERI BEGAWAN (Brunei): Menteri Hal Ehwal Agama Brunei, Zain Serudin menolak usul ahli Parlimen, Goh King Chin supaya zon khas jual beli arak diwujudkan untuk pelancong bukan Islam. Zain menegaskan, andai ia diwujudkan, Brunei yang mengharamkan penjualan arak pasti dilaknat Tuhan. “Yang paling kami takuti ialah laknat Allah. Laknatnya bukan pada mereka yang melakukannya sahaja tapi semua yang berada di negara ini. “Pelancong yang ingin minum arak boleh minum di negara mereka, malah mereka boleh mandi arak. “Hari ini mereka mahu zon arak, lepas ini mungkin zon pelacuran, kasino. Kami perlu tolak semuanya dan kekalkan kemakmuran,” tegasnya. – AP
Sumber : Harian Metro


Alhamdulillah. Menteri Agama yang sangat mantopp!!! Menjalankan amanah Allah dengan berani dan tegas. Menegakkan undang-undang berdasarkan ilmu agama yang dimiliki.


"Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan. (96) Patutkah penduduk negeri-negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? (97) Atau patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main? (98) Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah? Kerana sebenarnya tidak ada yang merasa aman dari rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi". (Al-A'raf : 96-99)


Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya". (Al-Baqarah : 41)

Monday, January 17, 2011

Susu atau Nila?

Assalamualaikum.

Dah lama aku tak update blog. Dan tak dijangka langsung tulisan pembuka tirai 2011 adalah tentang gay. 

Sebabnya, aku baru terbaca dalam internet tentang seorang manusia lelaki Melayu bernama Azwan Ismail yang mengaku terang-terangan dirinya gay. Aku ulangi, lelaki Melayu yang agamanya Islam, mengaku gay di dalam laman Youtube.

Aku sendiri pun tak sempat tengok video tu sebab dia dah remove, tapi berdasarkan berita dari pelbagai sumber  internet, Azwan Ismail adalah seorang jurutera yang berusia 32 tahun. Dia membuat pengakuan tersebut sebagai respon kepada kempen It Gets Better iaitu sebuah kempen yang menggalakkan golongan Lesbian-Gay-Bisexual-Transgender supaya berani bersuara menyatakan keseksualan mereka tanpa perlu takut atau malu-malu (padahal memang muka tak tau malu).

Dan macam biasa, selain yang mengeji, ramai jugak yang memuji tindakan Azwan kononnya atas hak kebebasan seksual dan juga keberanian bersuara.

Masa baca berita ni, aku tak berapa terkejut tapi agak cemas. Tak terkejut sebab aku tahu gay Melayu memang semakin ramai di negara kita, bahkan mana tahu ada antara kawan-kawan kita sendiri yang saban hari berjumpa kita tu sebenarnya gay? Ini kerana orang biasa sukar mengenali gay walaupun ada beberapa ciri golongan ini yang boleh kita kenalpasti. Tetapi manusia gay memang mengenali sesama mereka, mungkin diaorang ada gerak isyarat tertentu yang hanya difahami sesama sendiri.

Aku cemas sebab golongan ni tentu dah begitu ramai sampai tahap berani buat pengakuan umum. Jadi macam mana la nasib anak-anak kita bila besar nanti? Siapa tahu satu masa nanti anak kita masuk asrama dan rakan katil sebelahnya adalah gay/lesbian? Atau lebih malang lagi guru asramanya yang gay/lesbian? Bukan semua akan mengaku gay macam Azwan. Jadi siapa yang boleh kita percayai lagi nanti?

Bagi aku amat penting didikan agama pada anak-anak agar kuat imannya dari pengaruh benda haram macam ni. Tak dinafikan, ramai ibubapa yang hantar anak mereka ke kelas mengaji Al-Quran dan Fardhu Ain. Tapi berapa ramai pula ibubapa yang menyemak semula tahap kefahaman agama anak mereka? 

Saya yakin tak ramai, sebab kebanyakan ibubapa hanya menunaikan tanggungjawab dengan menghantar anak ke kelas agama. Bab faham atau tak faham (penghayatan) tak pernah diambil peduli. Janji anak tu khatam Quran, tahu doa makan, tahu wuduk, tahu solat, itu kira cukuplah. Berapa ramai yang sanggup meluangkan masa mengajar anak kecil tentang sifat Allah, dosa-dosa besar, azab neraka, kisah-kisah kaum terdahulu dalam Al-Quran dan sebagainya asas kefahaman agama mereka?

"Ah, itu berat sangat tu. Budak-budak patut ajar dari bawah, yang basic2 je dulu macam doa makan dan wuduk. Nanti dah besar sikit baru la masuk bab yang lebih dalam, kalo tak pening budak tu nanti...".

Inilah alasan ibubapa biasanya. Dan tidak dinafikan ada benarnya juga. Tapi malangnya realiti yang terjadi adalah sebaliknya. Bila anak semakin besar dan bersedia untuk lebih mendalami agama, kita pulak yang sibuk tak ada masa. Jalan mudahnya kita letakkan tanggungjawab kita tadi pada ustaz sekolah yang sememang dah mempunyai tanggungjawab berat terhadap ratusan murid lain untuk dididik. Akhirnya anak kita membesar tanpa dibekalkan tunjang kefahaman agama yang kukuh.

Cuba kita tanya pakcik makcik yang jadi pengikut ajaran sesat seperti Ayah Pin atau Rasul Melayu. Agak-agak diaorang ni pernah belajar agama tak? 

Kita : Pakcik mokcik ni dulu kecik-kecik tak belajaq agama ke?
P/M : Eh apa pulak tak belajaq. Kami belajaq la. Mak ayah kami tegas bab agama. Kecik-kecik dah hantar belajaq.
Kita : Apa yang pakcik mokcik belajaq tu?
P/M : Banyak. Mengaji Al-Quran, tajwid, sirah, sifat 20, fardhu ain macam bersuci, wuduk dan solat semua tu. Mengaji Quran aje dah 3 guru, fardhu ain 4 guru, solat semua tu lagi macam-macam guru.
Kita : Kira kefahaman pakcik mokcik tentang agama ni bagus la?
P/M : Nak kata bagus sangat tu taklah jugok, tapi bolehlah setakat nak jadi pembimbing diri supaya tak sesat. Kebetulan jumpa plak dengan Tuan Guru Ayah Pin ni, pakcik mokcik sambung belajar dengan dia la pulak bagi lengkap ilmu di dada.
Kita : Ye ke pakcik mokcik? Bagus la pakcik mokcik belajar agama ni sejak kecik, tapi kalo pakcik mokcik tak pernah belajar langsung lagi la bagus.
P/M : En nape pulok?
Kita : Sebab kalo pakcik mokcik tak belajar, boleh juga dikira sesat sebab jahil. Ini dah belajar, tapi jahil jugak? Kecik-kecik taknak nak mampos, dah besar pakcik mokcik menyusahkan pejabat agama pulak.

Belajar dan belajar+faham adalah dua perkara berbeza. Contohnya ada ustaz yang belajar sampai Mesir tapi tak sehebat ustaz yang belajar di pondok. Semuanya kerana penghayatan. Tapi jangan pula salah erti tak perlu belajar tinggi-tinggi, belajar rendah pun tak apa asalkan faham. Begini sebenarnya, errr..... susah la nak explain, tak payah explain la senang. Pandai-pandai la korang faham sendiri.

Yang aku nak tekankan, menjadi tanggungjawab kita sendiri sebagai ibubapa, (bukannya ustaz atau guru kelas Fardhu Ain anak kita) untuk memastikan anak-anak kita faham dan menghayati segala yang dia dah belajar.

Lagi satu yang membuatkan aku cemas, kalo bala Allah ditimpakan kepada kita semua sebab bertambahnya golongan-golongan macam ni. Bukan korang tak belajar sirah kaum Nabi Luth apa yang terjadi. 

Bak kata pepatah, kerana nila sebelanga, rosak susu setitik. Opps jangan marah aku tahu pepatah tu terbalik. 

Tapi bagi aku, yang ingkar pada perintah Allah memang ramai sebenarnya, bukan gay sahaja. Yang tengok bola tak solat Mahgrib, yang berjudi, yang tak tutup aurat, yang mengundi AF, yang makan rasuah, yang memperlekeh hudud, yang roboh surau, yang sorok gula/minyak, yang main takraw (pompuan), yang mengaku gay, yang tak mengaku tapi gay dan macam-maca lagi la bentuk keingkaran pada Allah. Mereka ni bolehlah diumpamakan nila penuh sebelanga (sampai dah melimpah keluar). Manakala golongan selain dari jenis tu aku kira sebagai susu setitik sebab memang sedikit.

Jadi memang akan musnahlah susu setitik ditelan oleh nila sebelanga. Jadi dimanakah kita sekarang? Dan di manakah anak kita apabila mereka besar nanti, golongan susu atau nila? Lihat sahajalah pada kisah Azwan Ismail ini, bukan sebarangan kerja tetapi jurutera. Bayangkan nasib ibubapanya jika disebabkan kelalaian mereka memberi didikan agama menyebabkan anak hanyut menjadi gay. Berjaya dalam pendidikan belum tentu akan berjaya di akhirat. Tetapi jika berjaya dalam penghayatan agama Insya Allah akan berjaya dunia akhirat.

Dengan ini aku menyeru kepada semua rakan seagama aku yang gay-lesbian-bisexual-transgender supaya bertaubatlah kepada Allah s.w.t dan pulanglah ke pangkal jalan. Sesungguhnya Allah s.w.t Maha Pengampun dan Maha Menerima Taubat. Hayatilah firman-firman Allah di bawah ini dan tanyalah pada diri kamu sendiri, tidak cukupkah janji keampunan yang diberikan oleh Allah s.w.t kepada hambaNya yang mahu bertaubat? Apakah janji Allah ini tidak mampu membuatkan hatimu sayu dan airmatamu mengalir? Betapa keraskah hatimu itu?

"Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiayai diri mereka sendiri, mereka mengingati Allah lalu memohon ampunan atas dosa-dosanya dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan keji itu sedang mereka mengetahui." (Ali Imran:135)

“Katakanlah: “Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (Az-Zumar: 53)

"Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar yang kamu dilarang mengerjakannya, nescaya Kami menghapuskan kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosa kecil) yang kecil dan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga)." (An-Nisa:31)

Dan dari Anas bin Malik RA beliau berkata: Rosululloh SAW bersabda: “Allah SWT berfirman: ‘Wahai anak adam, sesungguhnya jika engkau berdoa dan berharap kepada-Ku, niscaya Aku akan mengampunimu dan Aku tidak akan memperdulikannya lagi. Wahai anak Adam, seandainya dosa-dosamu memenuhi seluruh langit, kemudian engkau memohon ampun pada-Ku, niscaya Aku akan mengampunimu. Wahai anak Adam, seandainya engkau datang kepada-Ku dengan kesalahan sepenuh bumi, kemudian engkau menjumpai-Ku dalam keadaan tidak berbuat syirik dengan apapun niscaya aku akan datang kepadamu dengan pengampunan sepenuh bumi pula. (HR Tirmidzi - Hadis Hassan)



Abang Insaf © 2009. Original by Yanku. Modified by Abang