Friday, May 29, 2009

Takziah pada Tina dan Shidi


Pagi semalam aku dapat berita sedih. Ibu kepada Shidi (mak mertua Tina) telah kembali ke rahmatullah. Dia meninggal dunia di hospital. Sehari sebelum tu pun Tina dah bagitau aku, yang mak mertuanya sakit. Dari apa yang aku dengar, allahyarhamha memang menghidap beberapa jenis penyakit.

Jenazah telah selamat dikebumikan tengahari semalam di kampungnya, Pulau Pangkor. Ramai kakitangan pejabat yang pergi melawat jenazah di hospital. Aku mengucapkan takziah kepada Tina dan Shidi, harap mereka berdua bersabar dengan dugaan ini. Juga semoga roh allahyarhamha dirahmati Allah hendaknya, Insya Allah.

Aku banyak membaca hal kematian ini. Setiap kali terdengar berita kematian, tetiba aku akan rasa takut, macam tak ada mood nak buat apa-apa. Mesti terfikir, bila agaknya masa aku akan tiba? Rasa macam aku dah buang banyak masa untuk hal-hal dunia. Bekal akhirat aku macam tak bertambah langsung. Aku cuma harap Allah s.w.t akan mengampunkan hamba-Nya yang selalu terleka ini. 

Paling aku takut adalah sakaratul maut tu sendiri. Pedih. Jadi di sini aku nak kongsi serba sedikit info berkaitan kematian, atau khususnya sakaratul maut (yang aku ingat la).


SUDUT INFO AGAMA :

Selalu orang tersilap pada panggilan perempuan yang meninggal dunia sebagai "allahyarhamah". Tiada perkataan Arab untuk itu. Yang sebenarnya :

Muslim      = allahyarham / allahyarhamuh
Muslimah  = allahyarhamha

Setiap yang hidup dalam dunia ini, pasti akan mati. Tidak terkecuali sesiapa pun. Firman Allah s.w.t:

"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasai mati..." - (Ali Imran : ayat 185)

Dan tiada siapa yang tahu bila dia akan mati. Firman Allah s.w.t:

"Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila telah datang waktu kematiannya. Dan Allah Maha Mengenal apa yang kamu kerjakan". - (Al-Munafiqun : ayat 11) 

Ada sesetengah orang yang ambil jalan mudah bunuh diri bila menghadapi masalah. Dosanya satu hal, yang kedua ialah sakitnya mati itu. Kalo diaorang tau betapa pedihnya sakaratul maut tu, confirm tak ada yang mahu saja-saja bunuh diri. Kat bawah ni ada cerita pedihnya sakaratul maut pada sapa-sapa yang belum tahu.

Diriwayatkan tatkala Nabi Ibrahim a.s meninggal dunia, Allah s.w.t bertanya, "Bagaimana engkau mendapati kematian, wahai kekasih-Ku?". Ia menjawab, "Ia laksana besi panas yang dicengkam gumpalan bulu yang basah lalu ditarik". Allah s.w.t berfirman, "Padahal Kami telah meringkannya untukmu".

Diriwayatkan tentang Musa a.s bahwa ketika ruhnya akan menuju ke hadirat Allah SWT, Allah bertanya kepadanya, “Wahai Musa, bagaimana engkau merasakan kematian?” Musa menjawab, “Kurasakan diriku seperti seekor burung yang dipanggang hidup-hidup, tak mati untuk terbebas dari rasa sakit dan tak juga terbang untuk menyelamatkan diri.” Diriwayatkan juga bahwa dia berkata, “Kudapati diriku seperti seekor kambing yang dikuliti hidup-hidup.”

Diriwayatkan, ada sekelompok orang dari Bani Israil sedang melalui perkuburan. Sebahagian mereka berkata kepada sebahagian yang lain, "Seandainya saja kalian berdoa kepada Allah agar Dia mengeluarkan mayit dari kuburan ini untuk kalian tanya". Maka, mereka pun berdoa kepada Allah s.w.t. hingga tiba-tiba keluar dari kubur di hadapan mereka dan berdiri sesusuk tubuh yang terdapat bekas sujud di antara kedua matanya, lalu bertanya, "Wahai kaum, apa kalian mahu dariku? Sungguh aku telah mati sejak lima puluh tahun lalu, namun hingga sekarang pedihnya kematian itu masih aku terasa".

Umar r.a berkata kepada Ka'ab Al-Akhbar, "Wahai Ka'ab, ceritakan kepada kami mengenai kematian". Ka'ab berkata, "Baik wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya kematian itu laksana sebuah ranting pohon yang banyak durinya, yang dimasukkan ke dalam perut seseorang. Setiap duri mengenai satu urat. Kemudian, duri itu ditarik oleh seorang dengan tarikan yang kuat. Hingga terambillah apa yang terambil dan tertinggallah apa yang tertinggal".

Dan juga kisah Nabi Idris a.s dicabut nyawanya oleh Malaikat Izrail, kemudian dihidupkan semula oleh Allah s.w.t. Menurut Nabi Idris a.s, sakitnya 1000 kali lebih sakit daripada binatang hidup yang dikuliti. Malaikat Izrail mengatakan bahawa dia mencabut nyawa Nabi Idris itu dengan cara paling lembut sekali.


Korang tengoklah sendiri. Para Nabi pun merasakan pedihnya mati, apatah lagi kita yang banyak dosa ni. Itu baru sakaratul maut, belum masuk lagi bab seksa kubur. Sebab tu Rasulullah s.a.w sendiri selalu berdoa pada Allah agar diringankan sakaratul maut baginda kelak.

Dan ramai orang menangisi jika ada sanak saudara yang telah meninggal dunia. Tetapi mereka selalu terlupa yang mereka juga pasti akan mengikut jejak sanak saudara itu kelak.

Al-Hasan berkata, “Setiap hari malaikat maut memeriksa setiap rumah tiga kali dan mencabut nyawa orang-orang yang rezekinya telah habis dan umurnya telah berakhir. Apabila dia telah melakukan hal itu, maka seisi rumah yang bersangkutan akan meratap dan menangis. Sambil memegang gagang pintu, malaikat maut berkata, ‘Demi Allah, aku tidak memakan rezekinya, tidak menghabiskan umurnya, dan tidak memendekkan batas hidupnya. Aku akan selalu kembali dan kembali lagi ke tengah-tengah kalian hingga tak ada lagi yang tertinggal di antara kalian!’ “. Al-Hasan berkata, “Demi Allah, seandainya mereka boleh melihatnya berdiri di situ dan mendengar kata-katanya, niscaya mereka akan melupakan jenazah tersebut dan menangisi diri mereka sendiri.”

Kita disarankan untuk selalu berdoa agar mati dalam keadaan baik (husnul khatimah) dan jangan dimatikan dalam keadaan buruk (su'ul khatimah). Apa maksud husnul dan su'ul khatimah tu? Apa tanda-tandanya? Ada ke kisah-kisah pasal orang alim meninggal? Kisah orang jahat meninggal? Di mana ruh setelah kita mati? Bolehkah kita berjumpa orang yang dah meninggal dunia? Bolehkah si mati mendengar orang yang masih hidup? Boleh ke hantar pahala kepada si mati? 

Insya Allah lain kali ada masa, ada kerajinan, aku cerita lebih mendalam lagi bab mati ni. Itu pun kalau aku belum dijemput menghadap Allah s.w.t lagi...




Abang Insaf © 2009. Original by Yanku. Modified by Abang